
Buktikan cintamu dengan Istighfar dan Taubat

Firman Allah di dalam surah Fusshilat ayat 31 yang bermaksud, "Kamilah  penolong kamu dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan kamu akan beroleh  apa yang kamu inginkan, serta kamu akan dapat apa yang kamu minta.”
Tanda-tanda  orang yang mencintai Allah taala ialah, lidahnya sentiasa basah dengan  istighfar dan taubat. Kalimah istighfar dan taubat yang kerap diucapkan  ialah, “Astaghfiruka wa atubu ilaika,” yang bermaksud, “Aku memohon  keampunan daripada-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.” Istighfar dan taubat  adalah amalan harian para nabi dan rasul, ianya juga merupakan antara  sebab terpenting dirurunkan rezeki. Oleh itu istighfar dan taubat  hendaklah dijadikan amalan harian kerana ianya bakal menambah kekuatan  iman, di samping iman yang sedia ada.
Sebahagian orang menyangka  bahawa istighfar dan taubat cukup dengan hanya mengucapkan kata-kata  lisan semata-mata. Sehingga ramai yang beristighfar dan bertaubat,  tetapi tabiat mereka masih lagi kekal dengan tabiat lama. Mereka  menyebut, “Aku memohon keampunan-Mu ya Allah dan bertaubat kepada-Mu,”  tetapi kalimah ini tidak membekas sedikit pun di dalam hatinya, juga  tidak memberi pengaruh pada perbuatan anggota badan. Sesungguhnya,  istighfar dan taubat jenis ini adalah perbuatan orang yang berdusta.
Para  alim telah menjelaskan hakikat istighfar dan taubat;
1.   Imam  al-Raghib al-Asfahani r.h. menerangkan, “Dalam istilah syarak, taubat  adalah meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang telah  dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulangi dan berusaha  melakukan apa yang boleh diulangi (diganti). Jika kempat-empat ini telah  dipenuhi, bererti syarat taubatnya telah sempurna.”
2.   Imam  Nawawi r.h. menghuraikan, “Ulamak menyebutkan bahawa bertaubat daripada  setiap dosa adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan  Allah, yang tiada kaitannya dengan manusia, maka syaratnya ada tiga.  Pertama, hendaklah dia menjauhi maksiat tersebut. Kedua, harus menyesali  dosanya. Ketiga, harus berkeinginan untuk tidak mengulanginya kembali.  Jika salah satu syarat ini gugur, maka taubatnya tidak sah. Ada pun jika  taubatnya itu berkaitan dengan manusia, maka syaratnya ada empat. Yakni  ketiga-tiga syarat yang sudah tersebut di atas dan ditambah dengan yang  keempat pula, iaitu hendaklah dia memenuhi hak-hak manusia itu. Jika  berbentuk harta benda atau seumpamanya, maka harus mengembalikannya.  Jika berupa tuduhan atau seumpamanya, maka haruslah memberinya  kesempatan untuk membalasnya atau meminta maaf kepadanya. Adapun  sekiranya berupa ghibah, maka harus meminta maaf. "
Adapun  istighfar, sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Raghib r.h.,  “Meminta keampunan dengan ucapan dan perbuatan. Sebagaimana firman Allah  s.w.t. dalam surah Nuh ayat 10, “Mohonlah keampunan daripada Tuhanmu,  sesungguhnya Dia Maha Pengampun.”  Tidaklah bererti bahawa mereka  diperintahkan meminta ampun hanya dengan lisan dan perbuatan, kerana  sesungguhnya memohon keampunan (istighfar) hanya dengan lisan  semata-mata tanpa disertai perbuatan, adalah perbuatan para pendusta.”
Di  antara kesan dan tanda orang yang beristighfar dan bertaubat ialah  bertambah sifat takwanya kepada Allah taala, dan timbulnya rasa cinta  kepada-Nya. Takwa juga merupakan salah satu sifat orang mukmin, yang  mengaku beriman kepada Allah s.w.t.. Ulamak telah menjelaskan dengan  terperinci tentang pengertian takwa. Huraian mereka cukup bernas dan  sewajarnya dijadikan pedoman. Antaranya, Imam al-Raghib r.h. mengatakan,  “Takwa itu menjaga jiwa daripada perbuatan yang membuatkannya berdosa  dan ianya dengan meninggalkan apa yang dilarang.”
Imam Nawawi  pula mengertikan takwa dengan, “Mentaati perintah dan larangan-Nya,”  bermaksud, menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah taala. Imam  Jurjani r.h. berkata, “Takwa iaitu menjaga diri dari pekerjaan yang  mengakibatkannya diseksa, baik dengan melakukan perbuatan atau  meninggalkannya.”
Oleh itu, sesiapa sahaja yang tidak menjaga  dirinya dari perbuatan dosa, bererti dia bukanlah orang yang bertakwa.  Maka barangsiapa yang melihat dengan kedua matanya apa yang diharamkan  Allah, mendengar dengan kedua telinganya apa yang diharamkan Allah,  mengambil sesuatu dengan kedua tangannya apa yang tidak diredai Allah,  berjalan ke tempat yang dikutuk Allah taala, bererti dia tidak menjaga  dirinya dari perbuatan dosa.
Jadi, orang yang membangkang  perintah Allah taala serta melakukan apa yang dilarang-Nya, dia bukanlah  termasuk dalam kategori orang bertakwa. Orang yang menceburkan dirinya  ke lembah maksiat sehingga dia layak mendapat murka dan seksa daripada  Allah, maka dia telah mengeluarkan dirinya dari barisan orang yang  bertakwa.
Di antara kesan dan tanda orang yang beristighfar dan  bertaubat ialah bertambah sifat tawakalnya kepada Allah ‘azzawajalla,  dan bertambah-tambah pula cintanya kepada Allah jallawa‘ala. Bertawakal  dalam erti memasrahkan diri hanya kepada Allah dengan berusaha sedaya  upaya sebagai suatu ikhtiar. Ulamak telah menjelaskan makna tawakal  dengan huraian yang bernas, antaranya ialah Imam al-Ghazali r.h.,  “Tawakal adalah penyandaran hati hanya kepada al-Wakil semata-mata,  iaitu Allah s.w.t.”.
Berkata al-‘Alamah al-Manawi r.h., “Tawakal  adalah menampakkan kelemahan serta penyandaran (diri) kepada yang  ditawakkali.” Menjelaskan makna tawakal kepada Allah taala dengan  sebenar-benar tawakal, al-Mulla Ali al-Qari menyebut, “Hendaklah kamu  mengetahui secara yakin, bahawa tidak ada perbuatan dalam alam ini  kecuali Allah, dan setiap yang ada samada makhluk mahupun rezeki,  pemberian atau larangan, bahaya atau menfaat, kemiskinan atau kekayaan,  sakit atau sihat, hidup atau mati, dan segala sesuatu yang disebut  sebagai sesuatu yang maujud (ada), semuanya ini adalah daripada Allah  s.w.t.”. Ertinya, kita wajib meyakini bahawa segala sesuatu itu  bersumber daripada Allah semata-mata, sehingga kita menyandarkan hidup  ini semata-mata kepada Allah taala.
Firman Allah, “Gementar  kerananya kulit orang yang takut kepada tuhannya, kemudian menjadi  tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk  daripada Allah yang ditunjukinya sesiapa yang dia kehendaki. Barangsiapa  yang disesatkan Allah maka tidak ada baginya petunjuk,” surah az-Zumar  ayat 23.